Make your own free website on Tripod.com

 

PERAK

Negeri Perak memang terkenal dengan warisan sejarah, kebudayaan, cerita rakyat, selain sebagai tempat peranginan yang indah permai. Mula-mula, dalam perjalanan ke Utara, kita boleh mengunjungi Taman Rusa Sungkai untuk menyaksikan kehidupan lebih 100 ekor rusa yang berkeliaran bebas di situ. Keluar dari situ, kita singgah pula berkelah dan mandi-manda di Lata Kinjang, yang dapat dilihat dari arah Lebuhraya Utara Selatan. Kemudian, kita singgah ke Kampung Kerayung untuk membeli barangan tembikar yang cantik-cantik di situ.

Di Teluk Intan pula terdapat Menara Condong yang amat terkenal. Jika anda datang dari arah Kuala Selangor, sudah pasti anda akan bertemu dengan bangunan yang amat mengagumkan ini. Dalam perjalanan ke Ipoh, berhentilah di Kolam Air Panas Tambun sebelum ke Pasir Salak, tempat bersejarah yang terkenal dengan memorial untuk memperingati peristiwa pembunuhan J.W.W. Birch, Residen British yang pertama.


Kemudian, ke Kellie's Castle pula untuk menyingkap terowong rahsia dan bilik yang tersembunyi di istana terbiar itu. Jika ada masa, pergilah bersantai di Pulau Pangkor pula. Amatlah banyak tempat menarik di pulau tersebut, yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Setelah menginap semalaman di pulau Pangkor, perjalanan ke utara boleh diteruskan lagi. Kali ini, singgahlah di Stesen Kereta Api Ipoh, Muzium Geologi di Ipoh dan Muzium Darul Ridzuan. Tidak jauh dari situ, kita boleh bermain-main di Taman Rekreasi Dr. Seenivasagam. Kemudian, singgah pula di Masjid Ubudiah di Bukit Chandan dan juga Makam Diraja di Kuala Kangsar. Dalam perjalanan ke Taiping, jangan lupa untuk mengunjungi Muzium Perak dan bersiar-siar di Taman Tasik Taiping serta melawat Zoo Taiping.


Tempat terakhir di Perak sebelum melangkau ke sempadan Pulau Pinang ialah Pusat Perlindungan Burung di Kuala Gula, yang menempatkan lebih 100 spesies burung. Inilah masa paling sesuai untuk melawat pusat ini kerana terdapat ribuan burung dari serata dunia yang singgah di situ.

 

[Kembali ke ZON 'B'}